Gaji Minima: Apakah isu sebenar kita? Amin Ahmad

24 08 2010

Katakan saya seorang pekerja dengan latar yang berikut:

  • Tidak ada latar belakang pendidikan baik.
  • Tidak ada cukup kemahiran
  • Gaji saya ialah RM40 untuk kerja selama 12 jam atau dalam kata lain RM 1200 sebulan dan selepas penolakan simpanan tabung masa depan, kadar bersih untuk sebulan adalah sekitar RM 1050.
  • Saya berkeluarga dengan 3 orang anak. Isteri saya mempunyai latar pekerjaan yang sama dengan saya.

Sebenarnya saya baru hendak berkahwin. Tapi saya pernah kenal sebuah keluarga dengan situasi di atas semasa saya masih belajar di universiti. Saya pernah menggantikan tugas salah seorang daripada mereka dengan persetujuan bayaran yang lebih rendah, RM25 untuk tugas dan pada tempoh yang sama.

Niat saya hanya untuk membantu.

Ia bermula bila pada satu hari pengawal keselamatan di kolej kediaman saya mempunyai hal kecemasan dan perlu pulang ke Pahang menguruskannya. Justeru, tempat dia digantikan oleh suaminya dan saya menggantikan tempat suaminya di kolej kediaman yang lain. Ya, sudah tentu bukan sesuatu yang baik jika saya dilihat bertugas sebagai pengawal keselamatan di kolej kediaman sendiri sedangkan saya dikenali sebagai salah seorang pimpinan di kolej tersebut.

Saya membuat pekerjaan ini beberapa kali di hujung minggu sepanjang belajar di kampus. Sebenarnya, pada waktu-waktu tertentu saya sering meluangkan masa berbual dengan ramai orang termasuk pengawal keselamatan ini untuk memahami kehidupan masyarakat.

Saya merasakan tawaran mengganti tempat bertugas sebagai pengawal keselamatan di kolej kediaman di kampus adalah satu pengalaman yang baik untuk saya. Sebagai seorang daripada pemimpin mahasiswa, saya berpeluang mengenali kehidupan kampus dengan lebih dekat melaluinya. Saya tidak segan memakai baju pengawal keselamatan, bertugas untuk 12 jam pada malam Jumaat dan Sabtu (dan kadangkala Ahad) dengan gaji lebih sedikit daripada separuh gaji pengawal keselamatan itu untuk sehari dan realiti bahawa saya masih seorang mahasiswa yang ada kehidupan rutin tersendiri – belajar, beraktiviti dengan mahasiswa lain serta hal-hal biasa anak muda seperti bersiar-siar dan sebagainya.

 

Kehidupan seorang pengawal keselamatan

Jujurnya, saya tidak dapat membayangkan terhadnya kehidupan seorang pengawal keselamatan. Selepas kerja selama 12 jam bermula daripada 6 petang sehingga 6 pagi dengan sela masa untuk solat dan makan bungkus di bilik pengawal, sudah tentu waktu siangnya diisi dengan tidur. Katakan waktu tidurnya ialah 6 hingga 8 jam. Baki masa untuk kegiatan lain hanya tinggal 4 hingga 6 jam. Jika ditolak waktu makan, mandi, solat, perjalanan dan persediaan untuk kembali bekerja, saya fikir yang ada hanya sekitar 2 hingga 4 jam.

Mungkin ada sebahagian yang menyesali kehidupan masa lalu yang mendorong kepada terhadnya pilihan mereka pada hari ini. Namun memang ada mereka yang hampir tidak punya pilihan selain terperangkap dengan apa yang dipanggil kitaran kemiskinan ini. Dilahirkan dalam keluarga yang susah, tidak mendapat pendidikan sempurna malah ada yang tercicir daripada berpeluang untuk menyambung pelajaran lalu membesar dengan latar pendidikan dan kemahiran yang terhad.

Saya tidak bermaksud menghina pekerjaan yang dilihat bertaraf rendah ini. Sebab itu saya tidak kisah apa yang masyarakat mungkin tafsirkan ketika saya memilih untuk bekerja separuh masa sebagai pengawal keselamatan semasa di kampus berbanding rakan-rakan yang memilih bekerja di hotel dengan bayaran yang lebih baik misalnya.

Bagi mereka yang sanggup bekerja, syukur. Saya mahu memuji mereka ini. Ia tentunya jauh lebih baik daripada berputus asa dan akhirnya membuat keputusan untuk menjadi seorang penjenayah atau mungkin melacurkan diri (Na’uzubillah, semoga Allah s.w.t. menjauhkan kita daripada terjerumus ke dalamnya, Ameen.).

Saya tidak tahu apa pandangan yang lain. Untuk saya, ini bukanlah kehidupan berkualiti yang diharapkan. Tetapi saya mengerti, sebahagian daripada kita semua terpaksa melakukan pekerjaan seperti ini demi sesuap nasi untuk diri dan keluarga.

Dengan RM2100 sebulan, mengambil kira dua ahli keluarga yang bekerja dalam kes di atas, apa boleh didapatkan? Saya tahu memang ada rumah sewa di flat atau apartment dengan tiga (3) bilik yang sedikit jauh dari kawasan kampus saya boleh didapati dengan harga sewa RM350 sebulan pada waktu itu. Jika lebih dekat, sewa paling murah yang ada mungkin pada kadar RM500. Baki bersih untuk urusan kehidupan berkeluarga untuk lima (5) orang ialah sekitar RM1750 atau RM1600. Saya percaya ia cukup untuk bayaran bil, makan-minum, pengangkutan dan sedikit keperluan kehidupan yang lain – pakaian dan kemudahan rumah.

Suka atau tidak, tidak banyak pilihan yang ada selain daripada itu. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tergolong dalam masyarakat kelas ini boleh berbelanja bebas seperti mereka yang lebih banyak pendapatannya. Tentulah sebagai manusia, khususnya anak muda, ingin juga merasakan diri mereka bersama arus pembangunan. Memakai pakaian yang sedikit berjenama, makan makanan yang dilihat mewakili kelas tinggi dan sebagainya. Bagi anak muda yang gagal mendapatkan ini, ia mungkin jadi satu punca kepada sindrom rendah diri (inferiority complex); jika tidak menjadikan mereka ‘samseng’ di sekolah dengan mengugut atau mencuri daripada rakan lain.

Tidak, saya tidak bermaksud menuduh. Saya hanya menggariskan beberapa kemungkinan yang ada dalam realiti masyarakat di mana-mana saja tidak terhad di Malaysia.

 

 

Bagi golongan masyarakat kelas ini, tentulah agenda Gaji Minima dekat di hati mereka. Jika mereka biasa mendapat gaji RM1200 sebulan, tambahan RM300 pada gaji mereka tentulah sesuatu yang bermakna. Ia meliputi 20% daripada pendapatan mereka dan secara tidak langsung dapat meningkatkan 20% daripada jenis atau kualiti perbelanjaan mereka.

Itu untuk mereka yang bergaji RM1200; inikan pula mereka yang bergaji lebih rendah daripada itu. Ada mereka yang bekerja di kilang pada hari ini dengan gaji hanya RM600 sebulan, separuh daripada gaji pengawal keselamatan ini! Bagaimanakah agaknya kehidupan mereka?

Logik salah pada Akta Gaji Minima

Ada rakan yang kurang senang selepas saya menulis artikel Robin Hood dan Gaji Minima. Bagi mereka, saya membela kelas pemodal (atau biasanya disebut kapitalis) dan ia tidak menguntungkan rakyat, bahkan tidak manusiawi.

Saya memang biasa dengan tuduhan begini. Namun, apabila tuduhan tidak mengambil kira merit hujah yang saya panjangkan, saya kira ia tidak lebih daripada satu dorongan emosi berbanding rasional. Jujurnya, saya mengharapkan hujah tanding yang realistik kerana ia nanti dapat membantu saya untuk menstrukturkan pandangan saya. Saya bukanlah jenis yang segan untuk berkali-kali memohon maaf untuk kesilapan saya jika terbukti ia didorong oleh pengetahuan yang lemah. Saya selalu percaya bahawa yang terbaik masih terus ditambah baik.

Dalam artikel tulisan saya itu hujah didatangkan dengan sanjungan kepada sikap mulia untuk mereka yang perihatin dengan masalah kemelaratan hidup masyarakat. Sambil menjustifikasikan sikap mulia ini, saya jelas menolak jalan penyelesaian melalui Akta (sebuah undang-undang yang tentu sifatnya memaksa). Dalam tulisan ini, saya cuba menawarkan idea lain, lengkap dengan susur galurnya kepada tindakan tersebut.

Idea mempunyai kesan buruk dan baik. Ia mencorakkan sejarah panjang manusia. Sambil kita bertujuan baik, sejarah menjadi bukti bahawa idea yang buruk tidak mendatangkan hasil yang baik. Lebih 300 kajian dibuat sepanjang 50 tahun telah membuktikan bahawa Akta Gaji Minima gagal (lihat buku Minimum Wages, kajian 50 tahun oleh David Neumark dan William L. Wascher, 2008).

Gaji minima adalah satu contoh klasik bagaimana niat yang baik diterjemah kepada idea yang buruk – penyelesaian melalui Akta. Ideanya ialah melalui ketetapan mudah oleh kerajaan, gaji pekerja boleh ditingkatkan. Apa yang tersirat di sebalik idea ini ialah hubungan majikan dan pekerja sentiasa dalam bentuk eksploitasi, maka majikan tidak mungkin akan menaikkan gaji pekerja. Selain itu, ia cuba membayangkan bahawa hanya ahli politik yang tahu apa yang perniagaan patut berikan kepada pekerja.

Sebab itu saya secara sinis menulis sebelum ini tentang kenapa hanya RM1500? Kenapa tidak RM5000? Sebenarnya saya mahu menunjukkan satu corak yang sama bagaimana satu tindakan yang berasaskan logik bahawa kerajaan boleh menentukan gaji pekerja di sektor swasta itu adalah salah.

Ideologi?

Mungkin ada yang menganggap bahawa organisasi seperti Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) hanya memanjangkan pandangan bersifat ideologi. Masyarakat Malaysia tentu tahu bahawa IDEAS dianggotai oleh pelbagai anak muda yang mempunyai kecenderungan politik partisan yang berbeza tetapi mempunyai satu perkongsian idea yang sama.

Saya mahu bertanya mereka yang berhujah begini: adakah idea menggubal Akta Gaji Minima itu bukan asalnya bersifat ideologi?

Saya hanya mahu mengatakan bahawa ideologi bukanlah buruk bahkan ia hadir dengan penghujahan dan prinsip dasar. Ya, tentu saja ada yang lemah menghujahkannya. Namun, memberi fokus kepada struktur hujah tentu beza daripada mengambil pendirian dan membangun struktur sendiri untuk menyokongnya.

Contohnya begini; katakan saya ditanyakan warna kegemaran saya apa dan saya menjawab “bukan biru”. Itu tidak cukup untuk menjawab persoalan meskipun sedikit membantu. Tapi jawapannya boleh jadi putih, hijau, hitam dan sebagainya. Taktik mengkritik silogisme ini tentulah bagi saya sesuatu yang sangat bagus dalam konteks penyelidikan dan ia patut dihargai. Cuma, dengan mengkritik struktur hujah yang melegitimasikan kesimpulan, ia tidak menawarkan jawapan kepada persoalan “kesimpulan yang tepat” dan “apa hujah yang betul”.

Selain daripada ideologi, wajarlah kita mengenali sedikit sebanyak sifat tabii ekonomi itu sendiri dan bergelut dengan kompleksiti realiti untuk memahami belahan lain daripada syiling yang sama. Tanpa ideologi, teori dan kajian ekonomi tetap menunjukkan kesan Akta Gaji Minima adalah buruk, khususnya kepada golongan yang kurang pengetahuan dan kemahiran. Bukankah golongan ini yang mahu kita bela?

Penyelesaian

Dalam artikel sebelum ini, saya menyentuh sedikit isu permintaan (demand) dan penawaran (supply). Padanya terdapat apa yang saya istilahkan sebagai persetujuan (equilibrium). Saya gunakan istilah persetujuan kerana kita membincangkan soal majikan-pekerja. Equilibrium dalam istilah ekonomi memaksudkan “pertemuan permintaan dan penawaran” atau dalam kata lain, majikan-pekerja mencapai kata sepakat tentang apa yang mampu diberi oleh majikan dan apa timbal balas khidmat pekerja.

Aspek ini tidak tetap bahkan boleh berubah-ubah (anjal). Sebab itu, ada kumpulan yang berpegang kepada moral ekonomi yang salah. Misalnya seperti apa yang pernah didedahkan oleh Hishamuddin Rais; ada yang menaburkan paku di jalanan untuk membolehkan perniagaan tukar tiub tayar-nya berjalan. Itu mungkin kes kecil. Tidak mustahil ada yang sengaja merancakkan jenayah di sesuatu kawasan untuk membolehkan perniagaan pengawal keselamatan-nya berjalan. Juga tidak mustahil jika rakyat sengaja dibiarkan miskin melalui rasuah agar perniagaan along dapat berjalan atau paling tidak, rakyat ini akan terus berharap kepada kerajaan dengan mengundi ahli politik yang sama.

Hal yang hampir serupa pernah dibentangkan oleh Frederic Bastiat, dalam Teori Tingkap Pecah-nya (Broken Window Theory) yang mahsyur itu. (nota: saya sedang menterjemah karya beliau dan sebahagiannya telah disiarkan di laman web AkademiMerdeka.org).

Dalam ekonomi, kuasa permintaan dan penawaran ini dibincangkan meluas bahkan oleh tokoh ilmuwan Islam misalnya Ibnu Taimiyah. Ia boleh dianggap satu perkara prinsip dalam hal ehwal ekonomi. Keanjalan permintaan dan penawaran inilah yang menjadikan dunia politik-ekonomi itu dinamik dan memerlukan pengetahuan dan kepimpinan yang jelas prinsipnya. Ramai kerajaan yang korup selama ini bergantung kepada kekuatan sumber negara dan tidak benar-benar bersaing mengikut hukum ekonomi yang sebenar. Justeru, pertumbuhan yang ada itu tidak disokong oleh struktur yang kukuh. Sebab itu lazimnya rasuah tokoh-tokoh politik hanya boleh dilihat ketara apabila mereka dijatuhkan. Selagi mana ada perlindungan, selagi itu nilai sebenar tidak diketahui.

Apa perkaitan hal ini dengan gaji minima?

Kualiti hidup

Saya percaya isu peningkatan taraf hidup sangat rapat terkait dengan kuasa membeli. Ia adalah sebahagian daripada apa yang dipanggil kualiti hidup. Kualiti hidup pula amatlah subjektif dan meliputi banyak perkara. Kita pernah dengar bagaimana sebuah kajian telah menunjukkan rakyat Nepal antara penduduk yang paling berbahagia di dunia.

Berbalik kepada kuasa membeli, ia meliputi persoalan harga barang. Harga barang pula boleh diklasifkasikan dalam bentuk keperluan yang wajib yang asas seperti makan-minum, pakaian dan tempat tinggal, keperluan sokongan utama seperti pendidikan dan keperluan sokongan lain (rujuk antaranya Teori Kehendak Maslow).

Ia akhirnya berbalik kepada harga barang yang mahal. Kenapa ia berlaku? Bukankah kerana halangan kita kepada persaingan? Sampai hari ini kita masih dapat mendengar bagaimana pasaraya besar dihalang dengan alasan untuk menjaga perniagaan-perniagaan kecil setempat kerana pasaraya dapat menawarkan harga lebih murah disebabkan mereka mengambil barangan secara pukal. Sekali lagi, niat murni telah digunakan untuk menjustifikasikan harga kedai runcit yang lebih mahal berbanding harga di pasaraya. Mereka gagal melihat barangan pukal ini diambil dengan kos. Kos ini adalah risiko yang didahulukan peniaga pasaraya besar untuk menawarkan harga barang yang murah kepada rakyat. Bukankah harga murah ini yang mempengaruhi taraf hidup dan sekaligus kualiti hidup rakyat?

Ramai yang benci dengan kekayaan pemilik pasaraya besar ini tanpa menghitung risiko kos yang diambil mereka dan apakah manfaat kepada rakyat terbanyak melalui risiko yang mereka ambil ini. Sesetengah pelaburan misalnya mengambil masa sehingga puluhan tahun sebelum keuntungan sebenar dapat dijana. Saya berani mengatakan antara sebab kegagalan sebahagian peniaga kecil berlaku ialah kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang aliran tunai dalam perniagaan. Kursus-kursus keusahawanan biasanya tidak menekankan aspek ini dan lebih bertumpu kepada soal pemasaran.

Ramai juga tidak memikirkan misalnya kilang yang mengeluarkan barangan elektronik tentu sahaja mahu barangan ini terjual. Apakah munasabah untuk kilang ini dapat menjualnya kepada rakyat yang mempunyai pendapatan rendah dan tidak mampu berbelanja untuk barangan ini misalnya? Tidak!

Oleh kerana jawapan tidak, haruslah kita sedari bahawa pemilik kilang tidak berupaya untuk memberikan gaji minima kerana ia berlawanan dengan hukum tabii ekonomi, dan risikonya ialah produk keluaran kilangnya mungkin tidak terjual dan mereka rugi bahkan boleh saja  terhutang kepada bank semata-mata untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dan mengeluarkan barangan yang mungkin diperlukan rakyat!

Mungkin sebenarnya kita patut tahu ialah sebuah perniagan yang bagus sentiasa membuat kajian pasaran-nya, sama ada wujud permintaan atau tidak. Kajian ini mungkin tepat untuk satu tempoh dan gagal pada tempoh yang lain, tetapi ia dibuat dan melibatkan kos. Memang ada yang tidak membuat kajian pasaran. Syukurlah jika mereka kekal bertahan dan janganlah begitu hairan jika perniagaan tersebut gagal. Inilah dinamika dalam perniagaan yang patut diketahui oleh kita semua sebelum datang dengan penyelesaian tidak wajar.

Pilihan penyelesaian

1. Dasar persaingan

Saya telah menulis tentang dasar perlindungan yang telah menghalang persaingan perniagaan sebelum ini. Itu memerlukan satu tindakan dasar yang boleh ahli politik fikirkan jika benar mereka mahu menyelesaikan isu taraf hidup rakyat ini. Dengan membebaskan pasaran, saya percaya banyak pelaburan luar dapat masuk ke negara dan jumlah ini dapat beredar di pasaran di samping memberi sokongan kepada keperluan sebuah negara berasaskan hukum dan tidak diliputi oleh perasuah yang melindungi perniagaan tertentu sahaja.

2. Pendapatan asas dan jaminan pendapatan minima

Friedrich Hayek dan Milton Friedman, tokoh ekonomi libertarian dan John Kenneth Galbraith, tokoh ekonomi Keynesian misalnya mendokong idea ini. Selain mereka, ribuan ahli ekonomi lain juga mendokong pandangan ini. Ia berbeza dengan gaji minima. Ia bertujuan khusus untuk menyediakan semua rakyat dengan pendapatan asas untuk hidup. Ia diterima oleh semua, yang kaya dan yang miskin tanpa pengecualian. Jaminan pendapatan minima adalah mirip kepada pendapatan asas namun ia memerlukan ujian min. Setengah pandangan mensyaratkan kerja kebajikan dan kesanggupan mereka bekerja. Ia juga dikenali sebagai cukai pendapatan negatif (negative income tax) iaitu mereka tidak perlu membayar cukai pendapatan. Sebenarnya, dasar ini memang sedang dilaksanakan di negara kita. Di negara kita, individu yang berpendapatan lebih daripada RM2,500 akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar tertentu.

3. Penawaran kolektif

Kaedah ini dipakai di beberapa buah negara misalnya Jerman, Denmark dan Sweden. Ia adalah satu kaedah di mana majikan dan pekerja mencari persetujuan berkaitan hak dan tanggungjawab ketika bekerja. Ia melibatkan gaji, masa bekerja, latihan dan sebagainya. Biasanya, pekerja diwakili oleh kesatuan sekerja dan ia berbeza mengikut sektor pekerjaan. Saya berpendapat ini adalah lebih realistik kerana setiap sektor mempunyai dinamika-nya sendiri dan memang harus diakui bahawa bukan semua peniaga mempunyai ‘jiwa’ dalam menjalankan perniagaan. Pekerja perlu mengetahui risiko dan kos syarikat dan syarikat tidak sepatutnya menjadikan ini satu-satunya alasan untuk mendiamkan pekerja. Kepastian dari segi undang-undang dan kontrak yang adil harus diberikan kepada kedua-dua pihak, majikan dan pekerja dalam urusan kerja. Perbincangan dari masa ke masa juga hendaklah dijalankan bagi membolehkan semua isu berbangkit diselesaikan secara matang.

Masyarakat Madani

Ada lagi satu perkara yang mahu saya bincangkan. Di luar sana memang ada mereka daripada kelas masyarakat berpendapatan rendah berjaya dalam pelajaran dan mampu keluar daripada kitaran kemiskinan. Ia mungkin mengambil sedikit masa dengan segala susah payahnya. Tetapi yang penting untuk ditekankan ialah ianya boleh dilakukan.

Apa yang penting untuk kita pelajari di sini ialah usaha untuk menyelesaikan masalah sepatutnya bermula daripada diri sendiri terlebih dahulu, dan bukan melalui campur tangan yang tidak perlu oleh kerajaan.

Sebagai muslim khususnya, saya mahu mengajak diri saya dan kita semua kembali kepada kehidupan masyarakat muslim yang asal berasaskan sunnatullah dan hukum alam – siapa berusaha akan beroleh – iaitu kita sendiri yang akan menguatkan masyarakat sivil dan mengambil berat akan keperluan dan maslahat jiran tetangga kita. Kita juga tidak wajar membiarkan mereka selesa tidak berbuat apa-apa untuk meningkatkan keupayaan mereka melalui tambahan pengetahuan dan latihan kemahiran agar mereka akhirnya dapat menangkap ikan sendiri berbanding mendapat hadiah ikan setiap hari daripada jiran tetangga atau kerajaan. Kita juga tidak wajar menggesa satu undang-undang khusus untuk mengambil alih tanggungjawab kita sendiri untuk membantu mereka yang memerlukan.

Di pihak kerajaan, apa yang perlu diperhatikan ialah melalui asas ekonomi yang betul, apa yang menyumbang kepada kenaikan harga barang, apa yang boleh menyebabkan harga barang turun, bagaimana pendapatan pekerja yang ada dapat menjadi satu kuasa membeli serta hubungan majikan-pekerja yang lebih sejahtera.

Apa yang pasti, Akta Gaji Minima akan:

  • Menekan industri kecil berbanding industri besar.
  • Menekan pekerja yang kurang kelayakan akademik dan kemahiran dengan membuang mereka kerja kerana memberi keutamaan kepada pekerja mahir.
  • Kemungkinan menjadikan inflasi.

Saya percaya banyak lagi kesan yang boleh disenaraikan dan ia adalah bukti bahawa gaji minima bukanlah penyelesaian kepada isu sebenar kita. Apa yang pasti, masing-masing cuba berhujah membawa kepentingan diri (self-interest) masing-masing. Itu tidak salah. Namun, kepentingan diri ini ada yang hak dan ada yang batil.

Credit to: http://aminahmad.com/?p=282


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: