CACAT TETAPI GIGIH

31 01 2010


PDF Print E-mail
PEKAN – Hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh apabila melihat anak yang lahir ke dunia tidak mempunyai sepasang tangan dan kaki sempurna seperti anak-anak lain.
Sudah pasti lebih gundah-gulana apabila memikirkan masa depan dan kepayahan yang akan ditempuhi permata hati mereka pada hari-hari mendatang.
Bagi pasangan Othman Ali, 75, dan Juliah Ismail, 71, dari Kampung Tanjong Pulai di sini, itulah hakikat yang perlu ditempuhi mereka sepanjang 31 tahun lepas setelah dikurniakan seorang anak kurang upaya (OKU), Mohd Khairi yang hanya mempunyai tangan sehingga paras siku dan kaki di paras lutut.
Walaupun tidak sempurna seperti insan lain, Mohd Khairi tidak pernah dididik menangisi akan kekurangannya itu.
Hari ini, ibu bapa Mohd Khairi mampu tersenyum bangga melihat anaknya itu bukan hanya mampu berdikari malah menjadi usahawan akuakultur, satu bidang yang melibatkan banyak aktiviti fizikal.
PUJUKAN SEPUPU
Semuanya bermula pada lapan tahun lepas, apabila Mohd Khairi dipujuk sepupunya, Abdul Rashid Nordin agar menternak ikan sangkar di tepi Sungai Pahang.
Beliau, yang memang gemarkan aktiviti memancing, kemudian bersetuju dan meminjam sebuah sangkar daripada sepupunya itu untuk menternak ikan talapia.
Berkat usaha gigihnya tanpa mengenal jemu, pada hari ini Mohd Khairi berjaya memiliki 17 sangkar dengan ternakan ikan talapia dan patin hasil usaha gigihnya selama ini.
Beliau berkata, antara 600 dan 700 kilogram ikan bernilai kira-kira RM4,000 dapat dijual di pasar-pasar sekitar Pekan pada setiap pusingan hasil iaitu lima bulan sekali.
Mungkin pendapatan yang puratanya kira-kira RM800 sebulan itu tidak berskala besar, namun bagi insan istimewa seperti Mohd Khairi, ia cukup bermakna dalam membantu kehidupannya sekeluarga.
CABARAN
Rutinnya, Mohd Khairi akan berkerusi roda dari rumahnya sebelum menuruni anak tangga ke sangkar ikan menggunakan kedua-dua lengan dan pehanya.
Beliau kemudian memberi makan ikan dengan mengepit bekas berisi makanan ikan (palet), malah kadangkala mengangkat sendiri guni berisi makanan itu ke setiap sangkar ikan.
Beliau juga terpaksa membersih kawasan sangkar daripada sampah sarap yang hanyut ke kawasan sangkarnya bagi mengelak ikan ternakannya mati.
Aktiviti itu dilakukannya pada setiap pagi dan petang.
“Dengan keadaan fizikal macam ini, memang banyak cabaran yang perlu ditempuhi tetapi saya sudah biasa dari kecil,” kata Mohd Khairi ketika ditemui di sini.
Bagaimanapun, menurut Mohd Khairi, pada setiap pusingan hasil, beliau akan dibantu beberapa saudara dan rakannya untuk mengeluarkan ternakan ikan berkenaan untuk jualan.
ATLET PARALIMPIK
Seorang lagi pemuda OKU, Mohamed Mahidin, 38, dari Kampung Kiambang, Ganchong di sini juga tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk menjadi penternak ikan sangkar yang berjaya.
Bekas pemenang pingat Perak acara lompat tinggi pada kejohanan Sukan Paralimpik Asia 1998 di Bangkok, Thailand, itu kini berjaya mengusahakan 18 sangkar ikan talapia dan patin.
Beliau, yang mengalami kecacatan di bahagian kanan kaki, berkata, penglibatannya dalam bidang akuakultur sejak enam tahun lepas membawa pulangan antara RM1,000 dan RM1,500 sebulan.
Katanya, hasil ternakan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada pengguna terutama di pasar besar Kuantan.
Ditanya berhubung kesukaran yang dihadapinya bagi menjayakan projek itu, Mohamed berkata, beliau akan sedaya upaya berusaha mengatasi segala masalah.
“Lagipun saya memang dibesarkan di kawasan kampung, sudah biasa bermain sungai,” katanya.
Namun, katanya, cabaran yang paling besar ialah setiap kali musim banjir yang memaksanya memberhentikan sementara aktiviti penternakan ikan.
IMPIAN
Kedua-dua pemuda berkenaan seperti usahawan lain, juga menyimpan hasrat memajukan perniagaan masing-masing.
Dengan kerahan keringat bagi menjayakan perusahaan sangkar ikan tersebut, usaha Mohd Khairi dan Mohamed telah mendapat perhatian Jabatan Perikanan Malaysia.
Pada 23 Okt lepas, kedua-dua pemuda berkenaan telah menerima bantuan menerusi Skim Perkhidmatan Sokongan Akuakultur (SPeKs) yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan, Ismail Abu Hassan.
Skim berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan serta meningkatkan pendapatan pengusaha akuakultur melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan sokongan.
Bagi Mohd Khairi bantuan tersebut akan dapat mempertingkatkan pengeluaran hasil ternakannya pada masa akan datang.
“Penambahan sangkar ikan memerlukan modal yang besar dan bantuan ini pasti membantu,” katanya.
Manakala Mohamed, beliau bercadang mengembangkan aktiviti ternakan ikan sangkarnya kepada industri hiliran dengan menghasilkan produk sejuk beku, pekasam dan keropok.
Katanya, melalui pemerhatian yang dilakukannya, kesemua produk berkenaan kini semakin diminati dan mendapat permintaan yang baik di pasaran seluruh negara.

Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: