Bila Burj Dubai Bertukar Menjadi Burj Khalifa.

31 01 2010

Rencana dari Sinar Harian hari ini 31 Jan 2010

Bila Burj Dubai Bertukar Menjadi Burj Khalifa.
Oleh : Fudzail, Dubai, UAE
Biodata : Fudzail adalah ekspatriat Malaysia yang bermastautin di UAE sejak tahun 2000 dan terlibat secara langsung dalam pelbagai projek mega seperti Dubai Internet City, Dubai Media City, Palm Jumeirah, Palm Jebel Ali, International City, Discovery Gardens, Dubailand.


Tanggal 4 Januari 2010 menjadi sejarah unggul emiriah Dubai apabila struktur tertinggi planet bumi dirasmikan sempena ulangtahun ke empat penobatan Sheikh Mohammad Al Maktoum sebagai Emir Dubai. Dalam kemelut hutang yang mencecah Dhs80 bilion, menara setinggi 828 meter ini diharapkan dapat memulihkan nasib dan reputasi emiriah kedua terbesar dalam persekutuan UAE.

Satu generasi sebelum ini, Dubai hanyalah sebuah kampung nelayan yang sunyi. Kemudian bangkit sebagai pusat kewangan dan bisnes Timur Tengah yang menempa kejayaan demi kejayaan, terutama dibawah kepimpinan Sheikh Mohamed Al Maktoum sejak menjadi Putera Mahkota lagi.

Sebelum itu, visi ayahanda beliau, Sheikh Rashid Al Maktoum dengan pembinaan prasana seperti pelabuhan, lapangan terbang, creek, zon dagangan bebas dan polisi ramah bisnes menjadi asas pada kemakmuran Dubai yang tidak mempunyai sumber minyak yang banyak seperti Abu Dhabi.

Setelah lima tahun dalam pembinaan dan dikenali sebagai Burj Dubai, malam perasmian memberi kejutan apabila menara itu kini dikenali sebagai Burj Khalifa, mengambil sempena nama Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan. Keseluruhan kos pembangunan projek Burj Khalifa seluas 500 ekar adalah Dhs20 bilion. Kos strukturnya sahaja dalam USD1.5 bilion.

Burj Dubai dianggap kemuncak pembangunan pesat Dubai sedekad lalu walau krisis ekonomi akhir tahun 2008 membantutkan banyak pembinaan hartanah dan hiburan mega lain seperti Dubailand, Palm Jebel Ali dan Jumeirah Gardens. Pernah Sheikh Mohamed Al Maktoum mengatakan yang apa yang dilihat hanyalah 10% dari visi beliau!

Disebalik tanggungan hutang yang membebankan, upacara perasmian Burj Khalifa dibuat dengan penuh gemilang dimana 10,000 bunga api, pancuran air dan pancaran laser mencerahkan langit dengan persembahan yang menakjubkan. Penghuni Dubai bersesak untuk menyaksikan perasmian dan terlupa seketika mengenai krisis serta cabaran lebih besar tahun 2010. Meninggalkan pelbagai peristiwa tahun 2009 yang memberikan gambaran sebenar disebalik kilaun pembangunan rancak Dubai sepanjang dekad lalu.

Perasmian sktruktur se gah Burj Khalifa tanpa kehadiran Presiden yang namanya diabadikan membawa pelbagai spekulasi. Abu Dhabi baru-baru ini mem’bail-out’ Dubai saat-saat akhir dengan pinjaman USD10 bilion untuk membantu membayar hutang anak-anak syarikat kerajaan Dubai seperti Nakheel dan Dubai Holdings.

Menurut lapuran media barat, pinjaman itu tentunya datang dengan syarat-syarat tertentu. Pelbagai andaian timbul kerana dua emiriah besar dan berpengaruh dalam UAE ini sering kelihatan saling bersaing dan berselisihan. Sheikh Mohamed Al Maktoum beberapa kali menafikan timbulnya krisis antara mereka dan menyatakan berulang-kali yang keduanya adalah adik beradik. Sesuatu yang tidak kedengaran dari pihak Abu Dhabi.

Dikatakan antara tawar-menawar untuk membantu Dubai melunaskan tanggungan hutang ialah beberapa aset penting dan strategik Dubai mestilah dibawah kawalan Abu Dhabi. Selain beberapa kuasa eksekutif bertukar tangan. Semua andaian dan spekulasi ini menjadi sebahagian dari perbualan awam di mana-mana.
Abu Dhabi adalah emiriah terkaya dengan simpanan hasil minyak antara yang terbesar di dunia dan simpanan dana yang amat besar, dikatakan USD700 trilion. Menjadi tunggak UAE di mana ibukota UAE adalah Abu Dhabi. Dubai mempunyai kuasa eksekutif sebagai Naib Presiden dan Perdana Menteri. Pengagihan kuasa antara Abu Dhabi dan Dubai adalah termaktub dalam perlembagaan dan emiriah lain tidak mempunyai kuasa untuk mengubah apa-apa.

Abu Dhabi lebih bersifat sederhana dalam banyak perkara, manakala Dubai memang agresif. Tidak heran ramai yang lebih kenal Dubai dari Abu Dhabi mahupun UAE sendiri. Ini kerana imej hebat Penerbangan Emirates dan Pelabuhan Dubai yang mempunyai rangkaian pelabuhan sedunia, selain kota Dubai yang bersih, aman dan glamor.

Sememangnya pembinaan Burj Khalifa adalah terlalu besar untuk tergendala kerana maruah Dubai akan lebih terjejas teruk. Tahun lepas ada pengumuman sebuah lagi menara yang mahu dibina setinggi 1 km oleh Nakheel. Projek itu terbantut sebaik krisis ekonomi menelanjangkan keadaan kewangan Dubai. Kalau tidak, Dubai akan mempunyai dua menara tertinggi dunia, sesuatu yang membazir dan tidak diperlukan sama sekali.

Dengan perasmian struktur tertinggi dunia yang mempunyai 160 tingkat berpenghuni, 57 lif terpantas akan serentak memberi cabaran lebih besar untuk memenuhi 160 unit bilik mewah hotel dan 1,044 buah unit apartmen apabila sektor hartanah Dubai masih teruk merudum. Banyak projek tergendala dan lebih banyak bangunan kosong di mana-mana.

Ramai ekspatriat Dubai yang kehilangan kerja dan banyak kereta ditinggalkan di lapangan terbang kerana mereka pulang tanpa mahu membayar hutang. Dikatakan penduduk Dubai berkurangan dalam tahun 2009 walau kesesakan jalanraya masih belum berkurang.

Harga sewa rumah dan apartmen yang pernah menjadi isu besar sebelum krisis ekonomi kini kembali ke harga sebelum krisis. Malah di mana-mana banyak kelihatan iklan ‘rumah untuk di sewa.’ Tuan rumah yang selama ini tamak dan sombong kini terpaksa menurunkan harga sewa dari kehilangan penyewa yang mempunyai banyak pilihan.

Syarikat pemaju Burj Khalifa, Emaar telah menjual sebahagian besar unit apartmen dalam masa 2 hari dalam tahun 2004 ketika hartanah melonjak ke taraf luar biasa. Sewaktu kemuncaknya dalam tahun 2008, satu kaki persegi bernilai RM10,000.

Seperti nilai hartanah lain di Dubai yang jatuh 50%, harga sekaki persegi di Burj Khalifa dijangka akan terus menjunam 30% lagi.

Cabaran sebegini akan menjadi ujian besar untuk memulihkan kepercayaan kepada Dubai oleh para pelabur yang sudah ramai kerugian. Malah perbankan dan kewangan dunia juga akan sama memerhati sejauh mana Burj Khalifa akan dapat memulihkan kedudukan Dubai.

Sheikh Mohamed turut mengheret ramai eksekutif anak-anak syarikat kerajaan Dubai ke mahkamah atas tuduhan korupsi. Antara mereka ialah tokoh-tokoh dan pemimpin korporat yang sebelum ini berprofil tinggi.
Lebih mengejutkan dalam satu perstrukturan semula apabila antara yang disingkirkan dari kerusi lembaga pengarah Dubai Investment Corporation yang menjadi tunjang pelaburan Dubai (seperti Khazanah) ialah Mohamed Gergawi (pengerusi Dubai Holding dan menteri), Mohamed Al Abbar (pengerusi Emaar) dan Sultan Sulayem (pengerusi Dubai World) yang sebelum ini menjadi ‘poster boys’ pada pembangunan pesat Dubai.
Hanya Mohamed Al Abbar, manakala Gergawi dan Sulayem tidak kelihatan di majlis perasmian Burj Khalifa.
Ironis sekali apabila Burj Khalifa menjadi ikon kemegahan turut juga membawa simbol saling bercanggahan. Ketinggian Burj Khalifa membawa ekonomi Dubai rebah ke bumi. Apakah Burj Khalifa membawa petanda Dubai akan mengalami kejatuhan dan Abu Dhabi akan mengambil alih sepenuhnya peranan Dubai sebelum ini.
Begitulah kenyataanya, aspirasi Sheikh Mohamed al Maktoum untuk membawa Dubai terus ke mercu kejayaan sebagai pusat kewangan dunia memerlukan perancangan semula yang seperti bertukarnya nama Burj Dubai, memastikan Abu Dhabi bukan sahaja sebagai rakan tetapi bos!

Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: