Nukilan………..

4 02 2009


Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Makan pakai yang sederhana, cara berkelakuan yang sederhana, serba sederhanalah! Ibu dan ayah saya bekerjaya. Sejak saya boleh mengingat, ibu memang wanita yang bekerja. Gaji ibu tidak sebesar gaji guru atau misi (nurse). Ibu saya seorang pembantu tadbir dan melaksanakan tugas-tugas perkeranian. Ibu tidak belajar tinggi. Sekadar SPM dan terus merantau meninggalkan kampung halaman menuju ke Pulau Mutiara, tempat saya menghabiskan usia remaja dan awal dewasasaya. Atuk melarang keras pada ketika itu. Kata ibu, atuk saya melarangnya merantau ke pulau ini kerana bimbang dia menjadi ‘tak jadi orang’ dan ketika itu, ibu nekad untuk tetap merantau. Ibu tidak mahu bekerja sawah. Ibu geli dengan pacat dan segala jenis lintah. Waktu berangkat ibu semat dalam hati untuk tidak akan pernah menjadi ‘tak jadi orang’ dan ibu telah buktikan kini. Ibu ceritakan lagi pada kami adik beradik, waktu ibu mula bekerja kilang di Pulau Mutiara ini, ibu mengekang belanja makannya. Ibu terlalu berjimat dan berdikit-dikit mengumpul wang simpanan. Itu kisah bujang ibu.

Setelah menikah dengan ayah, ibu mengikut ayah merantau ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, ibu dan ayah membina keluarga kami. Waktu itu kewangan ibu dan ayah belum benar-benar stabil. Abang lahir pada 1982, setahun selepas pernikahan ibu dengan ayah. Ketika itu paksu, adik ayah masih muda mentah. Ayah punya ramai adik-adik yang harus disara. Bersama realiti itu, ibu bersabar untuk hidup bersama ayah. Untuk membolehkan ibu terus bekerja, abang dihantar untuk diasuh oleh nenek, ibu kepada ibu di Kedah. Setiap bulan ibu mengirimkan wang perbelanjaan untuk abang kepada nenek. Saya pula menyusul di bumi Allah ini empat tahun kemudian. Waktu itu abang telah berada di bawah jagaan ibu. Ibu masih muda ketika itu. Baru berusia 28 tahun. Saya dipelihara oleh opah, ibu kepada ayah di Perak dan kemudian dijaga We, abang sulung ayah. Ibu pernah bercerita, sewaktu ingin kembali menjaga saya semasa saya berumur sekitar empat tahun dan membawa saya pulang ke rumah kami yang ketika itu berada di Ampang, saya mengamuk dan berguling-guling sepanjng perjalanan dari Setapak hingga tiba ke rumah. Ibu sangat bersedih pada waktu itu. Saya sebagai anak kandungnya sendiri tidak mahu berdamping dengannya. Mungkin atas sebab itu ibu tidak pernah lagi membenarkan adik-adik saya berjauhan daripadanya. Ketika saya masih kecil hingga bersekolah tadika, ibu sering berulang-alik ke Singapura untuk membeli kain. Waktu itu Mak Long, kakak ibu menetap di sana. Ibu membeli kain ela dalam jumlah yang banyak di Singapura dengan harga yang murah dan menjualnya di Malaysia. Lebih tepat lagi kepada rakan-rakan pejabatnya. Hasil jualan itu ibu simpan berdikit-dikit hingga membolehkan ibu membeli tanah tapak rumah kami sekarang.

Saya sempat rapat dengan ibu semasa di tadika. Kemudian adik lelaki saya lahir ketika saya darjah satu. Berbanding dengan ibu, saya lebih manja dengan ayah ketika di sekolah rendah. Adik perempuan saya lahir semasa saya darjah empat. Dan ketika di sekolah menengah rendah, saya hanya rapat dengan teman-teman sekolah. Saya memberontak dengan menyisihkan diri dari keluarga. Ibu dan ayah saya bekerjaya. Setelah pindah ke desa pinggiran negeri Selangor, ibu dan ayah menghabiskan masa yang banyak di jalan raya, bertarung dengan kesesakan lalu lintas. Ibu dan ayah keluar bekerja sebelum saya bangun tidur dan pulang ke rumah selepas saya selesai makan malam seorang diri dan berkurung di bilik. Begitulah rutin hidup kami. Meski pun begitu sebagai ibu, ibu tidak pernah lupa pada anak-anaknya. Ibu akan mengetuk pintu bilik saya sebelum ibu tidur. Mungkin untuk bertanya khabar. Tapi seringkali pula saya hanya membuka pintu dengan kepala terjenguk dari celahan pintu. Perkataan pertama muncul pada mulut saya adalah “Kenapa?” dan ibu hanya menjawab, “Saja nak tengok Ija buat apa.” Itu kata ibu. Waktu dulu, saya marah pada ibu. Saya mempersoalkan kenapa mesti saya dibesarkan oleh orang lain? Kenapa ibu tak pernah prihatin pada diri saya? Apakah tiada kasih ibu buat diri saya? Kini setelah berusia 22 tahun, peristiwa lapan tahun lalu kini telah saya fahami. Ibu saya tidak di asuh dengan belaian manja daripada nenek dan atuk. Saya sendiri tidak pernah melihat nenek mencium pipi ibu. Begitu juga ibu tidak pernah mencium pipi nenek. Dulu, saya sering membandingkan ibu dengan Mak Long. Mak Long sering memanjakan anak perempuannya yang hanya muda setahun daripada saya. Tapi kemudian saya faham. Mak Long dibesarkan dengan penuh kasih daripada nenak dan atuk. Setiap kali pulang ke kampung, Mak Long pasti mencium nenek. Saya kurang ingat tentang atuk kerana saya kurang memerhatikannya dan kini dia telahpun menyambut panggilan Ilahi.

Saya memberontak ketika di tingkatan tiga. Waktu itu, saya berada dalam zaman kegelapan. Saya bertengkar hebat dengan ibu dan ayah kerana adik. Hampir, saya ingin membunuh diri. Waktu itu saya merasakan ibu memang tidak pernah mengasihi diri saya. Kemudiannya saya sedar, ibu mengasihi saya. Cuma barangkali melalui fasa puberti bukan perkara mudah. Barangkali… . Kesedaran menjengah dalam hati saya ketika saya menjadi penghuni ICU, diikuti dengan wad di HKL untuk seminggu dan bercuti sekolah selama dua bulan. Saya mendapat ciuman ibu yang pertama di dahi saya sepanjang saya boleh mengingat ketika baru sedar daripada pengaruh bius di ICU. Ibu kemudiannya menemani malam-malam saya di wad. Sejurus selepas tamat waktu bekerja, ibu mengunjungi bilik saya di tingkat 2, wad 7 HKL. Ibu menyuap saya makan dan bertanya tentang keperluan saya walaupun waktu itu saya hanya mampu berbisik lemah. Ibu membersihkan muntah yang saya keluarkan sejurus selepas menerima suapan daripada ibu. Ibu mengelap tubuh saya sebelum bertolak ke tempat kerja. Waktu itu ayah bekerja jauh. Adik-adik terpaksa ibu tinggalkan di bawah jagaan opah yang berkunjung ke rumah kami. Waktu itu badan ibu susut lima kilo. Ibu pitam di pejabat. Selepas saya boleh membuka mata sepenuhnya dan tidak lagi dibawah pengaruh dadah pain killer, saya katakan pada ibu supaya pulang ke rumah. Ayah pulang dari tugasnya. Bergilir menjaga saya. Ketika itu saya mula sedar. Ibu mengasihi saya. Kalau tidak, mana mungkin ibu tahu selera saya. Ibu tahu bubur cendawan yang ayah beli tidak sesuai dengan tekak dan kepala saya. Kerana tidak mahu menghampakan ayah yang telah bersusah payah membelinya, saya telan juga bubur berkuah cedawan dengan sos tiram itu. Akibatnya, baru dua suap saya mula mabuk dan pening kepala. Setelah saya boleh duduk sambil bersandar pada kepala katil, ibu tidak lagi menemani malam saya. Sebelum pulang ke rumah, ibu menghantarkan kueteow goreng yang sangat enak untuk makan malam saya kerana saya tidak mampu mengunyah nasi. Satu hari, para doktor membuat kunjungan ke katil saya untuk melihat kemajuan yang saya laksanakan. Para misi pula berusaha menanggalkan pembalut yang menutup luka pembedahan saya. Waktu itu ibu memeluk saya, memegang erat tangan saya. Saya katakan padanya, “ma, sakit.. .” Ibu saya bisikkan kata semangat di telinga saya. Sakit, memang sungguh, sakitnya bagai di siat kulit saya. Saya tidak dapat menahan sakit dan terus pitam.

Ciuman dan pelukan ibu yang kedua saya peroleh ketika berumur 18 tahun. Waktu itu buat pertama kalinya saya perlu berada jauh daripada ibu. Saya menjadi penghuni di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Berbeza dengan ayah yang berpesan “berkawan baik-baik,” ibu berpesan pada saya agar belajar baik-baik. Ibu tahu saya punya cita-cita menggunung tinggi. Saya pernah katakan pada ibu saya ingin belajar hingga ijazah falsafah, PhD. Saya juga pernah katakan pada ibu saya mahu menjadi doktor, tidak kira doktor apapun. Di matrikulasi, keputusan pelajaran saya tidak begitu memberangsangkan. Saya tidak layak mengikuti pengajian perubatan. Saya menyambung pengajian di USM dalam aliran biologi tulen. Kemudian saya ingin sambung belajar lagi tetapi dalam aliran yang berbeza. Meski ayah kurang menggalakkan, meski We sering menjatuhkan, ibu tetap menyokong dan menggalakkan saya. Kelmarin, sejurus selepas saya bertarung menjawab soalan peperiksaan subjek aliran baru saya, ibu menelefon. Saya katakan padanya tentang yuran yang mahal, tentang sara hidup yang tinggi. Sungguh, saya rasa bersalah. Dalam umur 22 tahun ini saya masih belum boleh membalas jasa ibu. Saya belum mampu berdiri dengan dua kaki sendiri. Tiap bulan masih mengharap kiriman wang daripada ibu dalam akaun bank saya. Sungguh, saya malu dengan diri sendiri kerana sebagai anak perempuan sulung saya masih belum boleh berkhidmat untuk ibu. Menjawab panggilan ibu buat saya sebak. Kata ibu, “jangan pikir pasal duit. Dah nak belajar, bukan nak main-main. Takpe, nanti mama bayarkan.” Kata-kata ibu buat air mata saya hampir tumpah. Saya malu dengan diri sendiri. Saya sudah dewasa. Saya sudah berusia 22 tahun tapi masih bergantung bantuan kewangan ayah dan ibu. Ibu sudah 50 tahun. Seringkali ibu mengeluh penat berulang-alik ke tempat kerja. Tapi ibu gagahkan juga. Ayah sudah 56 tahun. Sudah bersara pada awal tahun 2008 tapi masih membanting tenaga memenuhi kontrak dengan syarikat lama. Saya malu, dalam usia ini dulu ibu sudah mengirim wang kepada nenek. Ayah sudah mula membantu adik-adiknya. Tapi saya? Masih di Pulau Mutiara cuba menimba ilmu sambil menagih kewangan ayah dan ibu. Saya malu.

Sejurus menamatkan perbualan dengan ibu, saya nekad dalam hati. Satu semester hampir tamat untuk rancangan pengajian ini. Tempoh saya tidak lama lagi. Saya tanam teguh-teguh dalam hati, jasa ibu akan saya tebus. Saya berjanji pada diri sendiri untuk memenuhi segala keperluan masa tua ibu nanti. Buat ibu yang saya kasihi, meski tidak pernah saya katakan bahawa saya mengasihinya, terima kasih buat segala pengorbanan yang ibu beri. Kepada Tuhan saya berdoa semoga ibu sentiasa dirahmati dan diberkati. Jika diizinkan Allah, jasa ibu akan saya balas. Peluang dan dorongan ibu untuk saya berjuang dalam bidang ini akan saya gunakan sebaik mungkin. Moga setiap sen yang ibu dan ayah berikan akan berbaloi dan mampu saya bayar dengan setimpal.

Ya Tuhanku, kasihi ibu dan ayahku. Sesungguhnya tiada belas dan kasih yang mampu menandingi kasihMu


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: